Kongsi
Pekerja malang itu mengumpul duit untuk datang bekerja di Malaysia selepas terlihat iklan yang disebarkan melalui aplikasi media sosial WeChat.

KULAI – Sebanyak 18 warga China termasuk petani sanggup menjual tanah dan sawah di kampung semata-mata untuk mencari rezeki sebagai buruh binaan di Malaysia.

Namun kesemua mereka telah menjadi mangsa penipuan apabila tiket penerbangan ulang alik yang dijanjikan sindiket menjadi tiket sehala manakala visa kerja pula bertukar menjadi visa pelancongan.

Lebih menyukarkan keadaan, kumpulan pekerja asing itu ditinggalkan di sebuah tapak binaan pada tengah malam.

Dalam keadaan tiada duit, mereka memilih berpatah balik ke Lapangan Terbang Senai di Johor dan bermalam di situ.

China Press melaporkan, pekerja dari wilayah Hunan itu telah membayar antara RM12,700 hingga RM38,300 kepada ejen pekerjaan yang dipercayai sebagai penipu untuk menjadi buruh binaan dengan sebuah syarikat pemaju yang terkenal.

Ejen berkenaan menggunakan janji gaji bulanan sebanyak RM5,745 untuk mengumpan mangsa untuk bekerja di Malaysia.

Mangsa malahan dijanjikan dengan kenaikan gaji sehingga RM8,298 sebulan setelah mereka melepasi tempoh percubaan.

Namun, janji yang diberi tinggal janji. Mangsa dibawa ke tapak binaan di Johor Bahru selepas mendarat di Malaysia dan terus ditinggalkan begitu sahaja.

Dokumen kerja sah yang dijanjikan pula menjadi visa pelancongan yang akan tamat tempoh pada 24 April.

“Kami terpedaya dengan janji gaji yang tinggi. Tetapi langsung tak ada kerja di sini setelah kami sampai,” kata seorang mangsa, Gu Ren Yi, 55.

Jiang Shu Yan, 55, pula berkata, dia mengumpulkan duit untuk datang bekerja di Malaysia selepas terlihat iklan yang disebarkan melalui aplikasi media sosial WeChat.

Kedutaan China di Kuala Lumpur telah ambil maklum mengenai kejadian itu dan akan memberi bantuan yang sewajarnya. – MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan