Abdul Shukur (kanan) dan Sohaimi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terlibat dalam kejadian banjir kilat di Kuang, Rawang.

RAWANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus mahu pemaju projek pembangunan Gamuda Gardens bertanggungjawab dengan kejadian banjir kilat di kawasan itu semalam.

Katanya, berikutan banjir itu, aktiviti penduduk setempat di kawasan DUN Kuang terjejas teruk, selain mereka terpaksa menanggung kerugian besar akibat barangan keperluan rosak.

Beliau berkata, banjir kilat itu berpunca daripada tindakan pemaju berkenaan melakukan kerja pemotongan tanah bagi projek pembangunan menyebabkan sistem perparitan tidak berfungsi dengan baik.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga masih menangguhkan proses pembesaran dan kedalaman Sungai Kuang walaupun kerajaan negeri mendakwa sudah meluluskan peruntukan kira-kira RM10 juta bagi tujuan itu,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir kilat di Kundang, Rawang, hari ini.

Turut hadir dan menyampaikan sumbangan ialah Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan.

Sebelum itu, Abdul Shukur dan Sohaimi bertemu dengan wakil pemaju Gamuda Gardens bagi menuntut syarikat itu bertanggungjawab, selain membayar ganti rugi kepada penduduk yang terlibat dengan banjir kilat itu.

“Sudah dua kali saya menghantar surat meminta pemaju ini memberi penjelasan berhubung projek pembangunan yang dilaksanakan, tetapi mereka tidak layan kerana mungkin saya ini wakil rakyat pembangkang di Selangor.

“Bukan itu saja, kegagalan kerja pelebaran dan mendalamkan Sungai Kuang juga antara punca kejadian banjir kilat ini berlaku.

“Dalam keadaan begini pun, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor masih gagal bertindak untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Sohaimi yang juga Pengerusi Yayasan Jamin berkata, beliau turun padang hari ini untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan bagi meringankan beban mangsa banjir kilat.

Ujarnya, akibat kejadian itu, kerugian dialami penduduk dianggarkan mencecah jutaan ringgit. – MalaysiaGazette

Hujan lebat lebih dua jam tenggelamkan Rawang