Tertuduh, Jemain Yatim, 60, bagi kes penipuan dana emas Raja-Raja Melayu dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah hari ini.

ALOR SETAR – Seorang lelaki yang terbabit dalam pelaburan dana emas Raja-Raja Melayu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Jemain Yatim, 60, juga didakwa menyalahgunakan nama kerabat diraja di negeri itu dalam kegiatannya.

Jemain didakwa atas dua pertuduhan melibatkan wang RM76, 200 pada November 2016 dan Januari lalu.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Sinaran Baru, Kempas, Johor bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Othman.

Pada pertuduhan pertama, Jemain antara 30 November 2016 hingga 29 Disember 2016 didakwa menipu Abdul Halim Mohd. Noor, 62, membabitkan wang kutipan daripada pelabur bagi dana berkenaan berjumlah RM13,050 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB tertuduh di sini.

Pertuduhan kedua pula Jemain antara 2 Januari lalu hingga 11 Februari lalu menipu mangsa yang sama membabitkan wang kutipan daripada pelabur untuk dana tersebut sebanyak RM63,150 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB tertuduh di sini.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Noor Farah Hazwani kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu dan kes disebut semula pada 16 Mei depan untuk penyerahan dokumen dan melantik peguam.

Sebelum itu, Timbalan
Pendakwa Raya Eliana Ismail mencadangkan Jemain dikenakan jaminan sebanyak RM40,000 kerana kes itu melibatkan kerabat diraja. – MalaysiaGazette