Mohd. Shafie Apdal, Semporna, Parlimen, calon
Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal hari ini menyatakan kesediaannya untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kenyataan itu dipercayai berhubung siasatan SPRM terhadap pembelian sebuah hartanah oleh anak syarikat MARA Incorporated di Melbourne, Australia.

“Saya terpanggil untuk memberi respon terhadap beberapa kenyataan yang sedang tular di media massa dan media sosial baru-baru ini yang mengaitkan nama saya, di mana pada ketika itu saya memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kes yang melibatkan MARA iaitu agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilaporkan SPRM sedang meneliti maklumat baru yang diterima berhubung dakwaan salahlaku seorang bekas menteri yang dikaitkan dengan pembelian sebuah hartanah berkenaan.

Awal hari ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki berkata, siasatan kes pembelian hartanah berkenaan dijangka mengambil masa sehingga hujung tahun ini susulan maklumat baharu diterima badan siasatan itu.

Setakat ini 24 saksi sudah dipanggil dan SPRM telah menjalankan siasatan di lebih tujuh lokasi premis termasuk pejabat peguam, penilai dan pejabat MARA serta yang berkaitan dengannya, selain banyak dokumen sudah dirampas.

Mengulas mengenai itu, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu sedia dipanggil oleh SPRM pada bila-bila masa untuk memberikan keterangan.

“Saya difahamkan kes ini masih lagi di dalam siasatan pihak SPRM dan saya sedia memberi kerjasama pada bila-bila masa sekiranya pihak berkuasa memerlukan maklumat bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

“Dalam masa yang sama, saya juga menghargai sekiranya dapat dimaklumkan lebih awal supaya penyelarasan masa dapat dilakukan,” katanya lagi.

Shafie adalah menteri bertanggungjawab ketika MARA mengambil keputusan untuk memberi hartanah berkenaan dua tahun lalu. -MalaysiaGazette.