KUALA LUMPUR – Dia sudah menyaksikan masyarakat di sekeliling mendepani episod duka; berpisah mati, bercerai hidup, putus kasih dan tidak terkecuali misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang kekal berlegar sehingga ke hari ini.

Jauh di sudut hati sosok bernama Datuk Fazley Yaakob ini, semua itu meninggalkan kesan mendalam buat diriyta.

Apa tidaknya, tiada tanda, tiada pesan untuk kepergian mengejut itu, ia meruntun banyak jiwa terutama keluarga, sanak saudara serta sahabat handai.

Dan terlarut emosi kesedihan membuak, lelaki berusia 38 tahun itu mengekspresi segenap perasaannya menerusi lirik single terbaharu, Ketiadaan yang dihadirkan bersama melodi indah oleh komposer popular, Azlan Abu Hassan.

Penyanyi yang turut menyandang status chef, pengacara serta personaliti TV, pelakon dan penceramah motivasi menjelaskan, Ketiadaan menjulang tinggi erti kehilangan insan tersayang sama ada seumur hidup, sementara atau cinta terputus.

“Arwah ayah meninggal dunia ketika saya dalam proses menghasilkan single ini. Dan seminggu kemudian, nenek pula dijemput Ilahi.

“Perasaan ketiadaan itu cukup erat dalam diri saya kerana asyik terbayang kelibat dan gelak tawa mereka sekali gus kehilangan tempat berkongsi masalah.

“Bayangkan, semua tinggal kenangan dan hanya dapat dilihat menerusi foto-foto di dalam telefon bimbit sebagai memori.

“Lantaran itu, saya tidak mencuri waktu panjang hendak menulis lirik. Malah, hanya mengambil masa 30 minit untuk merekod lagu ini di dalam studio,” kata anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.

Single yang menjalani proses adunan akhir di Studio 301, New South Wales, Australia itu kini boleh didapati dan dimuat turun menerusi Spotify di http://bit.ly/ketiadaanspotify, iTunes/Apple Music (http://bit.ly/ketiadaanitunes) dan YouTube (lagu sahaja) (http://bit.ly/ketiadaanyoutubeaudio).

Pada waktu sama, video muzik rasmi Ketiadaan boleh ditonton di laman YouTube Fazley Yaakob tidak lama lagi.

Video muzik lagu ini telahpun menjalani penggambaran berlatar di Sydney, Australia, Reims dan Paris, Perancis.

Lebih mengundang emosi, satu adegan khas menampilkan arwah bapa Fazley semasa hayat beliau untuk berkongsi momen paling manis yang dimiliki selama ini.

Tidak hanya itu, Fazley yang kini dilantik sebagai Duta Pelancongan Halal ke Taiwan bakal merekod Ketiadaan dalam versi bahasa Mandarin.

Projek itu dilakukan dengan kerjasama dengan penyanyi wanita jelita, Dr. Soo Wincciyang bertujuan menerobos ke pasaran Taiwan tidak lama lagi.

Penggambaran video muzik lagu itu akan dirakam di sana dalam waktu terdekat.

Sebelum menokhtah bicara, Fazley tidak ketinggalan berkongsi ekspektasi terhadap Ketiadaan.

“Tiada lain, saya berharap agar single ini diterima ramai. Melalui pengalaman sebelum ini, ramai terkeliru di antara Abang Asmara dan Abang MasterChef.

“Hakikatnya, saya ialah orang sama. Justeru, saya hendak mengambil peluang ini bagi mengembalikan semula memori peminat yang masih setia dengan lagu Asmara Ini, Bila April serta Chocolate Cake. Dan waktu sama, mereka mengetahui bahawa saya seorang chef,” katanya.