Azizulhasni Awang lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman. Gambar file MalaysiaGazette
NILAI – Jaguh sukan berbasikal negara, Azizulhasni Awang percaya negara mampu melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.

Paling penting, menurut Azizul yang juga baru mendapat gelaran juara dunia acara Keirin itu, ia bergantung bagaimana fasiliti sedia ada dimanfaatkan secara maksimum.

Ia kerana,tambah beliau yang turut dikenali sebagai Pocket Rocketman itu, negara mempunyai ramai atlet yang berbakat dalam sukan tersebut dan boleh diketengahkan.

“Sudah tentu, kita ada banyak bakat dalam Malaysia, takkan saya yang kecil ni boleh jadi juara dunia, atlet yang ada di luar sana tidak boleh jadi macam saya.

“Saya percaya, ramai yang ingin jadi pelumba dunia tapi tidak ada peluang sebelum ini kita tidak ada fasiliti yang bagus. Jadi, terpulang bagaimana kita hendak maksimumkan penggunaannya.

“Saya harap ia takkan jadi fasiliti ‘gajah putih’ untuk memaksimumkan stadium ini. Mungkin kita boleh bermula dengan program pendidikan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Azizul hari ini diberi penghormatan tertinggi untuk mencuba dan menguji trek Velodrome di Kompleks Stadium Tertutup, Nilai.

Gelagat Pelumba Basikal Trek Negara, Azizulhasni Awang lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman selepas menguji trek velodrome nilai sempena Sukan Sea 2017 yang akan berlangsung tidak lama lagi di Velodrome Nilai, Negeri Sembilan. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 APRIL 2017
Gelagat Pelumba Basikal Trek Negara, Azizulhasni Awang lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman selepas menguji trek velodrome nilai sempena Sukan Sea 2017 yang akan berlangsung tidak lama lagi di Velodrome Nilai, Negeri Sembilan. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 APRIL 2017
Trek yang dijadulkan siap sepenuhnya bulan depan, merupakan antara trek velodrome yang terbaik pernah ada di dunia, menurut Azizul selepas membuat ujian atas trek bersama kumpulan atlet berbasikal negara sebentar tadi.

“Best la, memang sangat smooth, biarpun belum siap sepeuhnya tapi tahap trek ni sangat best. Laju, setanding dengan trek di Hong Kong.

“Saya cuba selekoh semua bagus. Secara keseluruhan, semuanya sangat bagus. Pada saya, kita mempunyai trek antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Di samping itu, dengan adanya fasiliti tersebut, Azizul berharap negara mampu menganjurkan kejohanan berbasikal peringkat dunia pada masa akan datang. -MalaysiaGazette