Home Ekonomi PNB berjaya tingkatkan maruah Bumiputera

PNB berjaya tingkatkan maruah Bumiputera

TEMERLOH – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyuarakan rasa bangga terhadap pencapaian Permodalan Nasional Berhad (PNB), yang disifatkannya bukan sahaja berjaya meningkatan taraf ekonomi Bumiputera, malah telah menebus maruah negara sejak penubuhannya pada 1981.

Najib berkata, ia terbukti apabila syarikat-syarikat gergasi dan ternama antarabangsa, yang dahulunya milik ‘negara’ yang menjajah Malaysia, berjaya ‘dibawa pulang’ melalui strategi yang tepat dan kebijaksanaan mereka yang menerajui PNB.

“Kita tahu PNB, melalui strategi peristiwa “Dawn Raid” yang kita lakukan untuk membawa balik Guthrie ke Malaysia, berjaya menjadikan badan-badan korporat milik orang asing kini menjadi milik rakyat Malaysia.

“Inilah pada saya telah membuka minda kita bahawa kita memang boleh melakukan pembaharuan dan penstrukturan semula ekonomi negara.

“Hari ini PNB mengendalikan lebih 200 syarikat terbesar dalam negara,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh di sini hari ini.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakod, Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Untuk rekod peristiwa ‘Dawn Raid’ atau serbuan waktu Subuh, merupakan kejayaan negara membawa balik syarikat perladangan terkemuka negara, Kumpulan Guthrie Bhd (Guthrie), dari London pada September 1981, dan diserahkan kepada PNB yang ketika itu baharu sahaja ditubuhkan.

Najib berkata, PNB menerusi syarikat kumpulan, Sime Darby Berhad, juga berjaya membuktikan pencapaiannya dalam sektor perladangan dengan memilik 280,000 hektar ladang di Indonesia, 220,000 hektar di Liberia dan 350,000 hektar di Malaysia.

PNB dilihat sebagai sebuah institusi dan instrumen untuk mencapai matlamat serta objektif Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan selepas itu kita dapat lihat bagaimana PNB berjaya dari setapak ke setapak sehinggalah hari saya anggap ia sebagai sebuah insitusi yang begitu unggul dan dibanggakan seluruh rakyat Malaysia, katanya. – MalaysiaGazette