PULAU PINANG – Pemimpin DAP sudah mendapatkan penjelasan daripada Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berhubung penyebaran gambar intim yang dikaitkan dengan beliau serta calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Zairil sudah bertemunya serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng petang kelmarin bagi menjelaskan kontroversi berkenaan.

“Memandangkan ini merupakan serangan terhadap peribadinya, Zairil meminta untuk menguruskan isu ini buat ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Kon Yeow tidak mendedahkan butiran penjelasan yang dibuat Zairil dalam pertemuan tersebut.

Zairil dan Dyana Sofya ketika ini sekali lagi menjadi tumpuan selepas beberapa gambar intim dan mesra yang didakwa mirip mereka tersebar di internet sejak kelmarin.

Empat keping gambar itu menunjukkan perlakuan mesra dan intim kedua-dua pasangan berkenaan termasuk berpegangan tangan, saling merangkul pinggang dan bercumbu.

Sebelum ini juga, beberapa gambar dan video mesra yang didakwa pasangan pemimpin Melayu DAP berkenaan turut tersebar di laman sosial.

Dyana Sofya yang juga Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang bagaimanapun tidak mengesahkan atau menafikan gambar yang dikaitkan dengannya itu.

Sebaliknya, beliau hanya menyifatkan penyebaran itu sebagai satu bentuk pencerobohan privasi dalam kehidupan individuberkenaan tanpa memgambil kira siapa pun mereka.

Bagaimanapun, Zairil yang juga Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang menafikan beliau adalah individu yang didakwa dalam gambar tersebut dan mendakwa penyebaran gambar itu adalah percubaan menyerang peribadinya. – MalaysiaGazette