Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Enam lelaki dipercayai anggota sindiket yang menawarkan perkhidmatan penyiaran saluran televisyen berbayar dari syarikat TV satelit (Astro) secara tidak sah dengan bayaran bulanan yang rendah ditahan polis dalam serbuan berasingan semalam dan pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua lelaki berusia antara 39 dan 53 tahun itu yang menawarkan perkhidmatan berkenaan secara ‘online streaming’ serta perkongsian kad ditahan di beberapa lokasi di sekitar ibu negara dan Johor Bahru.

“Ketika serbuan, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk live streaming dan perkongsian kad, 12 unit parabolic modem/router, lebih 500 unit decoder dan kad Astro, Android setup box, telefon bimbit, tab dan komputer riba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak 2015 dan mempunyai lebih 30,000 pelanggan di seluruh negara yang telah membuat langganan sekali gus mengakibatkan kerugian besar kepada pihak Astro.

Acryl Sani berkata berdasarkan anggaran jumlah pelanggan perkhidmatan itu, dipercayai sindiket berkenaan mengaut keuntungan lebih RM900,000 sebulan.

Beliau berkata sindiket berkenaan dikenal pasti menggunakan kemudahan media sosial seperti Facebook bagi mencari pelanggan.

Katanya kesemua lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987.

Acryl Sani turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melanggan pakej sindiket itu kerana ia satu kesalahan di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya individu yang melanggan rangkaian tidak sah juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 232 (b) Akta Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM 300,000 dan boleh dipenjara.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ya lakan…bulanan astro dah la mahal,cite ulang seribu kali,servis caj pun kena,macam mana nak tahan wei…..bagi member yang dah ada internet unlimited bolehla langan iptv saluran penuh utk hanya rm25 shj sebulan…tak paksa².

Comments are closed.