Kongsi
Adam Rosly memegang tangan isterinya, Puteri Balqis Omar (tengah) sebelum masuk ke bilik perbicaraan Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu ketika proses siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adam, 30, didakwa mengemukakan empat dokumen palsu dan memberi dua keterangan palsu ketika percakapannya dirakamkan oleh pegawai SPRM di ibu pejabat Putrajaya pada 22 Februari lalu.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Kedua-dua kesalahan itu boleh membawa hukuman denda sehingga RM3 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun.

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan ikat jamin RM300,000, dan mengarahkan pasport Adam diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 29 Mei ini.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib mencadangkan ikat jamin seba­nyak RM400,000 namun peguam bela, Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar jumlah jaminan tersebut dikurangkan kepada RM150,000.

Adam yang juga ahli perniagaan ditahan sejak 13 April lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kekayaan luar biasa termasuk sebuah banglo mewah.

Sementara itu, Adam tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pukul 9.05 pagi dengan menaiki kenderaan MPV berwarna hitam.

Beliau disambut oleh beberapa ahli keluarganya yang sempat memeluknya sebelum dibawa ke pejabat pendaftaran kes.

Pada 15 November lalu, UMNO Bahagian Ampang membuat laporan kepada SPRM bagi menyiasat kekayaan luar biasa yang didakwa dimiliki oleh Adam.

Ketuanya, Datuk Ismail Kijo mempersoalkan bagaimana dalam usia yang begitu muda, Adam mampu memiliki sebuah banglo mewah di Ampang yang dianggarkan bernilai antara RM3 juta dan RM4 juta.

Ismail berkata, sedangkan sebelum terlibat dalam kancah politik, Adam pernah menetap di kawasan setinggan Kampung Pinggir Lembah Jaya.

Tegasnya, berdasarkan laporan portal Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Adam bukan sahaja memiliki banglo mewah berkenaan tetapi turut mempunyai beberapa buah rumah di tempat lain.

Katanya, UMNO Ampang juga mempersoal sama ada Adam yang merupakan Pembantu Khas kepada Zuraida itu membayar cukai dan menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan siasatan berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan