Mohd Sidek Hassan

KUALA LUMPUR – Meskipun tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang, Pasukan Petugas Khas Berhubung Urusniaga Mata Wang Asing (forex ) yang melibatkan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an telah berjaya menemubual beberapa individu secara sukarela untuk membantu siasatan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, pasukan petugas khas itu yakin mampu membentangkan syor dan tindakan lanjut kepada kerajaan pada Jun ini sebagaimana yang disasarkan pada mesyuarat pertamanya pada 16 Mac lalu.

“Walaupun terdapat kekangan ini, ia tidak pernah menjadi halangan untuk pasukan petugas khas ini melaksanakan mandat yang diberi mengikut terma rujukan di atas.

“Buat masa kini, Pasukan Petugas Khas telah menemubual beberapa individu yang dikenal pasti termasuk yang hadir secara sukarela untuk memberi maklumat berkaitan dengan isu kerugian BNM ini.

“Pasukan petugas khas juga telah meneliti dengan mendalam dokumen-dokumen sedia ada seperti Laporan Kewangan Tahunan BNM, Laporan Article IV oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), penyata rasmi Parlimen, kenyataan-kenyataan media serta penerbitan-penerbitan yang berkaitan.

“Pasukan petugas khas akan menjemput lagi pihak-pihak terbabit secara langsung atau tidak langsung, dan juga pihak-pihak yang mendakwa mempunyai maklumat dan bahan-bahan yang berkait rapat dengan kerugian mata wang asing pada tahun 90-an dalam masa yang terdekat ini,” katanya.

Tambah Sidek, pasukan petugas khas turut menerima maklumat melalui emel yang mana ia mampu membimbing mereka mencari lebih banyak informasi yang boleh memberi gambaran sebenar kerugiaan BNM akibat spekulasi urusniaga mata wang asing termasuk kebarangkalian terdapat unsur-unsur melindungi kerugian berkenaan.

“Oleh yang demikian, kami menggesa individu-individu yang mendakwa mempunyai maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen berhubung kerugian urus niaga ini untuk tampil ke hadapan berkongsi maklumat dengan Sekretariat Pasukan Petugas Khas,” katanya lagi.- MalaysiaGazette