Khairul Anuar Baharum (tengah) yang bergari dan berbaju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dibawa keluar Mahkamah Majistret Putrajaya setelah diperintah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan suruhanjaya itu. foto FAREEZ FADZIL, 15 APRIL 2017.
PUTRAJAYA – Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khairul Anuar Baharum atau ‘Ah Chong’ yang ditahan reman tujuh hari berhubung kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana 2017, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret selepas tempoh remannya berakhir hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan lelaki berusia 43 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000 dengan tiga penjamin.

Bekas pemain yang pernah beraksi bersama Negeri Sembilan dan Selangor itu direman sejak 15 April lalu dan disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009 kerana disyaki terlibat mengatur perlawanan membabitkan pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Khairul Anuar diwakili peguam, Ridha Abdah Subri.

Pada 6 April lepas, tiga pemain bola sepak MISC-MIFA termasuk seorang pemain import turut ditahan reman kerana dipercayai mengambil rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada bookie untuk menentukan perlawanan.- MalaysiaGazette