Ketua Biro Publisiti Parti Gerakan Ooi Zhi Yi

GEORGE TOWN – Gerakan Pulau Pinang mahu kerajaan negeri pimpinan DAP mengumumkan lebih awal butiran projek Tambakan Laut Bahagian Selatan Pulau Pinang (PSR) bagi memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Biro Publisitinya Ooi Zhi Yi berkata SRS Consortium yang dilantik sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) atau kerajaan negeri perlu mengumumkan butirannya dan menjelaskan bagaimana ia memberi manfaat kepada rakyat sebelum mendapat apa-apa kelulusan daripada pihak berkuasa persekutuan yang berkaitan.

Beliau berkata rakyat berhak untuk mengetahui butir-butir projek kerana mana-mana projek penambakan laut akan menimbulkan beberapa isu ke kawasan terbabit seperti kesan geologi, akuakultur dan alam sekitar.

“Pelbagai impak yang berbeza boleh berlaku disebabkan oleh penambakan terutama projek besar seperti itu dan kami ingin tahu bagaimana projek tersebut memberi manfaat kepada penduduk di kawasan itu,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Gerakan tidak membantah sepenuhnya projek berkenaan tetapi parti itu bimbang mengenai impaknya kepada komuniti selepas projek tersebut dibenar untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, Ooi berkata mengumumkan butiran projek itu lebih awal juga membolehkan Gerakan menjalankan penyelidikannya sendiri untuk menentukan daya maju projek dan bentuk manfaatnya kepada rakyat.

“Kami ingin mengingatkan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan secara serius kesan negatif yang akan berlaku dan tidak hanya melihat kepada manfaatnya. Gerakan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi kehidupan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan berkata SRS Consortium masih dalam proses mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa persekutuan yang berkaitan dan tiada perjanjian telah ditandatangani antara SRS Consortium dan kerajaan negeri.

“Cadangan SRS Consortium ialah untuk membincangkan lagi dengan kerajaan negeri dan agensi kerajaan persekutuan yang berkaitan dan badan -badan kawal selia bagi mendapatkan kelulusan yang perlu untuk pelaksanaan,” katanya.

Projek Penambakan Laut di perairan Permatang Damar Laut termasuk mewujudkan tiga buah pulau buatan dilaporkan bertujuan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Projek tersebut dikritik oleh pertubuhan bukan kerajaan, aktivis alam sekitar dan nelayan kerana kesannya kepada alam sekitar dan juga menjejaskan mata pencarian nelayan yang tinggal di sekitar kawasan itu.- MalaysiaGazette