Johari Abdul Ghani mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Musim Panas IMF-Bank Dunia di Washington, AS

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bertemu dengan Dewan Perdagangan Amerika Syarikat untuk membincangkan isu-isu berbangkit berhubung ketidaktentuan masa depan Kerjasama Trans-Pasifik.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Kementerian Kewangan berkata, pertemuan tersebut berlangsung semasa Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)- Bank Dunia di Washington yang bermula 20 April sehingga 22 April ini.

Antara perkara yang turut dibincangkan adalah keutamaan dasar-dasar Malaysia bagi meneruskan pembangunan sektor kewangan.

Johari juga dijadualkan bermesyuarat dengan tiga agensi penarafan antarabangsa untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung pembangunan dan kewangan Malaysia serta mengambil tindakan untuk menyelesaikan cabaran-cabaran yang dihadapi negara.

Malaysia akan terus memberi taklimat mengenai inisiatif-inisiatif yang sedang diambil untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dan monetari negara. – MalaysiaGazette