Abdullah Mat Yasim

KUALA LUMPUR – Wakil Kelantan, Senator Datuk Abdullah Mat Yasim mahu Kementerian Kesihatan memberi kata putus berhubung cadangannya supaya menubuhkan Unit Naziran di hospital kerajaan.

Katanya, cadangan itu supaya unit berkenaan berfungsi memantau gerak kerja doktor, pegawai perubatan dan kakitangannya yang dikatakan banyak menimbulkan masalah kepada orang ramai.

Sebagai pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan negeri, ujarnya, beliau menerima banyak aduan daripada orang ramai terutama keluarga pesakit mengenai perkhidmatan kurang memuaskan doktor dan pegawai perubatan hospital.

“Saya sudah bangkitkan isu ini banyak kali. Kementerian pun sudah beri jawapan akan kaji. (Tapi) sampai sekarang saya tengok layanan kepada rakyat masih sama, tidak berubah. Rakyat masih mengeluh dengan layanan acuh tidak acuh kakitangan hospital ini dalam memberi rawatan.

“Hari itu Timbalan Menteri (Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya) jawab (akan) kaji (akan) timbang… kaji (dan) timbang. Selama mana hendak kaji dan hendak timbang? Pesakit hari-hari mengadu.

“Saya minta Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas, letak Unit Naziran selama sebulan di hospital supaya mereka tengok bagaimana perkhidmatan disediakan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas mengambil bahagian dalam perbahasan ucapan junjung terima kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara di sini, semalam.

Abdullah yang juga Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang berkata, minggu lepas beliau sendiri berdepan dengan kerenah doktor dan pembantu perubatan ketika hendak mendapatkan rawatan bapanya di Hospital Pasir Mas (HPM).

“Memang patutlah hampir setiap hari saya terima aduan masyarakat setempat mengenai masalah di hospital ini. Saya selaku Pengerusi Lembaga Pelawat HPM pun tidak dilayan dengan baik.

“Saya rasa perkara ini bukan sahaja berlaku di Hospital Pasir Mas, di hospital lain pun sama juga,” tegas beliau.

Menurut Abdullah, kementerian harus sedar kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan adalah golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak mampu.

Katanya, kebanyakan yang berada di luar bandar inilah yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi kalau begini layanan kakitangan hospital, rakyat ini boleh benci dalam sekelip mata kepada kerajaan.

“Saya mohon, Kementerian Kesihatan buat kajian dan hantar Unit Naziran, tengok bagaimana keadaan, layanan pesakit di unit kecemasan hospital. Kementerian kena ambil tindakan betul. Jangan kaji tengok, kaji tengok sahaja, ini dekat pilihan raya, bahaya kepada kerajaan BN.

“Rakyat memang hendak sokong kita, tetapi kerana sedikit punya hal, mereka putus angin (kecewa) dan menentang kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette