Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – Anggota Dewan Negara Senator Datuk Chong Sin Woon hari ini menyatakan kesediaannya untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun Ketua Pemuda MCA yang juga Anggota Dewan Negara itu berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan MCA dan Barisan Nasional.

“Selaku ketua pemuda MCA saya perlu bertanding dan dipilih oleh rakyat untuk masuk ke Dewan Rakyat. Untuk itu (jika bertanding) saya perlu letak jawatan sebagai ahli Dewan Negara,” katanya.

Chong berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara bagi penggal kedua bersama tiga lagi senator, di bangunan Parlimen hari ini.

Berhubung isu lain, Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata kementerian memandang serius terhadap kegiatan penyalahgunaan dadah yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah dan akan bertemu dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengorak langkah membendung masalah tersebut.

Katanya kementerian juga telah menjalankan pemeriksaan mengejut dan ujian saringan air kencing terhadap pelajar di sekolah yang ‘berisiko tinggi’ dan didapati kes tersebut masih di bawah kawalan.

“Jika mereka (pelajar) didapati positif mengambil dadah kami (kementerian) akan berikan kaunseling. Itu SOP (prosedur operasi standard) kami. Untuk mereka yang dikesan membawa dadah pula kami akan bawa kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed pada 18 April yang menyatakan 825 daripada 23,583 pelajar sekolah menengah di seluruh negara yang menjalani ujian saringan air kencing, didapati positif dadah dalam tempoh suku pertama tahun ini. – MalaysiaGazette