Ruhanie Ahmad

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjelaskan kepada masyarakat Bumiputera dalam konteks apakah beliau berpendapat, orang Melayu perlu melihat sistem kuota sebagai penghinaan.

Naib Presidennya, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, kenyataan menteri itu luas skopnya, selain mengeliru dan amat menyayat hati nurani kaum Bumiputera.

Beliau menjelaskan, sistem kuota untuk Bumiputera adalah berpaksikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada kerajaan memperbetulkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi rakyat pada era merdeka.

Ruhanie yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Agenda Nasional Bumiputera (Binaputera) Perkasa berkata: “Kuasa atau ‘empowerment’ seperti ini wujud di beberapa negara termasuk India, Cyprus dan Amerika Syarikat serta huraian ini terkandung dalam tulisan Shad Saleem Faruqi, R Hickling dan Suruhanjaya Reid mengenai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

“Kita juga perlu insaf, sistem kouta ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diterjemahkan kepada pelbagai dasar affirmatif untuk Bumiputera.

“Lantas, jangan kita bicarakan sistem kuota Bumiputera secara umum dan sewenang-wenangnya,” katanya.

Rabu lalu, Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dilaporkan berkata, orang Melayu perlu melihat sistem kuota sebagai ‘penghinaan’.

“Kita perlu melihat (sistem) kuota ini suatu penghinaan, di mana kita perlu kuota untuk bergerak ke depan.

“Saya mahu supaya satu hari nanti, masyarakat Melayu boleh kata kita masuk universiti bukan pasal kuota,” kata Khairy.

Menurut Ruhanie, kenyataan menteri itu boleh disalah tafsirkan sebagai bermatlamat supaya semangat Dasar Eekonomi Baharu (DEB) dan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dimansuhkan di negara ini.

Beliau bertanya, adakah Khairy hanya merujuk kepada sistem kuota mengenai kemasukan pelajar Bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam atau kepada pelbagai aspek sosio-ekonomi yang berpaksikan semangat DEB? – MalaysiaGazette