Iskandar Abd. Samad

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mendakwa Skim Sewa dan Menyimpan yang dilancarkan Perdana Menteri di Sungai Udang di Kuala Lumpur ditiru dari Skim Sewa Milik Kerajaan Negeri Selangor (Smart Sewa).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abd. Samad bagaimanapun mengalu-alukan pelancaran skim Kerajaan Persekutuan itu kerana secara tidak langsung mengiktiraf Smart Sewa.

Menerusi Skim Sewa dan Menyimpan, rumah di projek perumahan Sungai Udang itu akan disewa kepada rakyat dan sebahagian dari sewa yang dibayar akan dipulangkan selepas cukup tempoh lima tahun.

Kata Iskandar, bagi skim Smart Sewa kerajaan negeri yang diperkenalkan Oktober tahun lalu, 30 peratus duit sewaan penyewa Rumah Selangorku akan dipulangkan sebaik sahaja kontrak tamat.

“Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) pada sidang Dewan Negeri Oktober lalu telah mengumumkan RM100 juta akan dibelanjakan dalam tahun ini (2017) untuk membeli Rumah Selangorku yang akan disewakan.

“Ketika itu terdapat kira-kira 100 rumah yang boleh disewakan di bawah skim ini, tetapi pada Januari lalu, sebanyak 260 unit Rumah Selangorku telah dikenalpasti untuk dibeli dengan kos RM46.5 juta,” katanya di sini semalam.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berharap skim Kerajaan Persekutuan itu akan berjaya dan kerajaan negeri bersedia berkongsi pengalaman demi kebaikan rakyat.

Sejak tahun 2008, katanya, kerajaan negeri telah menjadi peneraju kepada pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat sama ada dalam sektor perumahan atau sektor lain.

Antaranya ujar beliau, Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) iaitu satu skim baikpulih pangsapuri melalui perkongsian kos antara penduduk dan kerajaan negeri.

“Sejak mula dilaksanakan skim CERIA, lebih RM72 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk kerja membaikpulih melibatkan 223 pembangunan pangsapuri,” katanya. – MalaysiaGazette