Kongsi
Ramesh Rao

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meningkatkan tahap keselamatan ke atas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Datuk Adam Rosly Abdullah sepanjang siasatan berlangsung.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Datuk Seri Ramesh Rao berkata, ia bagi mengelakkan kes seperti yang berlaku ke atas mendiang Teo Beng Hock berulang sekali lagi.

Ini kerana beliau mengandaikan Adam Rosly bakal mendedahkan banyak maklumat berkaitan rasuah PKR di Selangor dan keselamatannya perlu sentiasa diberikan perhatian serius.

“Adam Rosly bakal bocorkan banyak rahsia rasuah PKR Selangor, justeru SPRM perlu gandakan keselamatan untuk beliau.

“Kita tidak mahu peristiwa Teo Beng Hock berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beng Hock ialah pegawai khas kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wan dan merupakan saksi dalam siasatan SPRM berhubung penyalahgunaan peruntukan Selangor.

Pada 16 Julai 2009, dia ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor akibat jatuh dari tingkat 14 bangunan berkenaan.

Ramesh berkata, ketika ini beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) seolah-olah berdiam diri dan enggan mengulas panjang lebar berkenaan kes Adam Rosly kerana bimbang penglibatan mereka dalam rasuah juga mungkin terbongkar.

“Kita sudah ada Lim Guan Eng, Rafizi dan kini Adam Rosly terbukti ada kes dalam rasuah dan kes mereka besar-besar, kenapa pemimpin pembangkang diam, ulaslah panjang lebar dan kritik kepimpinan mereka ini dalam parti.

“Kenapa hanya membuat cerita fitnah dan jahat ke atas Perdana Menteri sahaja walaupun tiada bukti, berceramah di sana sini berkenaan Datuk Seri Najib Razak dengan berniat jahat,” katanya.

Ramesh mendakwa tindakan pembangkang kerana mahu menjaga pengaruh masing-masing supaya agenda politik di negara ini tercapai untuk berkuasa biar dengan apa cara sekali pun termasuk menggunakan cara salah.- MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan