Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali nyata enggan membuka mulut berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah.

Azmin dalam satu acara bersifat menjarakkan diri daripada mengulas berhubung tuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu ketika proses siasatan dijalankan oleh SPRM.

“Biarlah proses perundangan berjalan,” ujarnya ringkas.

Semalam Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan Adam dengan ikat jamin RM300,000.

Adam, 30, didakwa mengemukakan empat dokumen palsu dan memberi dua keterangan palsu ketika percakapannya dirakamkan oleh pegawai SPRM di ibu pejabat Putrajaya pada 22 Februari lalu.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Kedua-dua kesalahan itu boleh membawa hukuman denda sehingga RM3 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun.

Isu kekayaan luar biasa yang milikinya dibongkarkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos yang kemudiannya membuat satu laporan kepada SPRM pada 15 November tahun lalu.

Adam kemudiannya dipanggil SPRM untuk membantu siasatan pada Februari.

Beliau bagaimanapun ditahan minggu lalu ketika hadir ke SPRM untuk memberi keterangan kali kedua.

Sepanjang penahanannya, rumah dan kesemua kereta mewah yang dimilikinya, disita SPRM.

Kes akan disebut semula pada 29 Mei depan. -MalaysiaGazette.