Ahmad Zahid Hamidi menaburkan beras pada lukisan kolam pada majlis Rumah Terbuka Ugadi 2017 anjuran Persatuan Telegu Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Semua masyarakat pelbagai agama dan kaum di Malaysia perlu menjaga keharmonian yang dikecapi dan perlu menolak sebarang unsur fahaman ekstremis yang cuba memecah-belahkan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata keharmonian dan keamanan yang dikecapi negara ini bukan suatu yang mudah dicapai, oleh itu ia mesti dipelihara dengan baik dan jangan membenarkan fahaman ekstremis meresap masuk dalam masyarakat.

“Sebagai masyarakat Malaysia, kita harus menjaga keharmonian, kita harus bersatu padu ketepikan perbezaan di kalangan kita dan tidak mahu golongan ekstremis sama ada Islam, Hindu, Buddha atau Kristian kerana kita mahu wujudkan keamanan di Malaysia.

“Malaysia adalah negara pelbagai kaum, Bapa Kemerdekaan serta pemimpin terdahulu telah membentuk keharmonian di kalangan kita, untuk cipta keadaan ini ia satu yang sukar tapi untuk pertahankannya lagi sukar,” kata beliau semasa berucap di Festival Ugadi 2017 yang disambut masyarakat Telugu di Dataran Merdeka hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, sambutan yang diadakan hari ini merupakan manifestasi kerajaan sentiasa menghargai perbezaan kaum dan agama di Malaysia dimana setiap etnik perlu diberi peluang untuk meraikan kebudayaan masing-masing tanpa sekatan.

“Ini satu manifestasi walaupun kita berbeza etnik, kebudayaan dan agama tetapi kerajaan tetap hargai perbezaan ini.

“Ini satu manifestasi bahawa kita harus diberikan peluang untuk meraikan kebudayaan masing-masing,” katanya lagi.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sentiasa memberikan sokongan supaya bahasa ibunda sesebuah etnik itu diajar di peringkat sekolah, malahan beliau sendiri berjuang supaya martabat bahasa ibunda dimartabatkan.

“Bahasa ibunda kita mesti diajar di peringkat sekolah rendah, ini adalah dasar pendidikan negara kita bahawa bahasa ibunda digalakkan dan sebagai seorang Ahli Parlimen juga memperjuangkan supaya bahasa ibunda ini diajar disemua sekolah rendah,” katanya.

Hari Ugadi disambut kira-kira 400,00 komuniti Telegu di seluruh negara ini pada 29 Mac lepas.

Turut hadir dalam majlis sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam; Presiden MPP, Tan Sri M.Kayveas dan Presiden Telugu Malaysia, Datuk Dr Achaiah Kumar Rao. – MalaysiaGazette