KUALA LUMPUR – Tanpa menunggu lama, pelakon Nelydia Senrose tampil mengemukakan bukti resit pembayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sudah dilakukan pada 4 April lalu.

Nelydia mendedahkan bukti berkenaan menerusi laman sosial Instagramnya  sejurus selepas berita tentang waran tangkap terhadapnya dikeluarkan pada Jumaat lalu.”Ini resit pembayaran cukai pendapatan bertarikh 4 haribulan April 2017,” tulisnya.

Menerusi resit tersebut, pembayaran cukai pendapatan itu dibuat bagi tahun 2013 melalui cek.

Namun pelakon berusia 23 tahun itu tidak menunjukkan resit pembayaran bermula tahun 2009 hingga 2012.

Ketika ini, pelakon Bukan Kerana Aku Tak Cinta tidak dapat dihubungi pihak media kerana difahamkan masih berada di luar negara.

Petang Jumaat, Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana tidak hadir bagi menghadapi tuduhan gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Nelydia atau nama penuhnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen gagal mengemukakan Borang B bagi lima tahun taksiran iaitu tahun taksiran bermula 2009 hingga 2013.

Selain itu Nelydia, turut berhadapan satu lagi pertuduhan kerana gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 81 ACP1967 bagi mengemukakan maklumat secara lisan kepada LHDNM. – MalaysiaGazette