MADRID – Lionel Messi membuktikan dia lebih hebat daripada Cristiano Ronaldo ketika Barcelona mengatasi Real Madrid 3-2 dalam pertembungan El Clasico awal pagi tadi.

Bintang Argentina menjaringkan dua gol sekali gus meledak jaringan ke-500 peribadinya untuk memastikan perebutan gelaran La Liga kembali terbuka.

Kemenangan itu melonjakkan Barca ke persada liga berbekalkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan selepas masing-masing terikat 75 mata namun Real masih berbaki satu perlawanan.

Dalam aksi panas itu, tuan rumah berada di depan seawal minit ke-28 hasil jaringan Casemiro namun Messi menamatkan kemarau tiga tahun tanpa jaringan menentang Real apabila memadamkan jaringan pembukaan itu dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-33.

Ivan Rakitic mengekut Real dengan gol kedua pelawat pada minit ke-73 untuk mendahului 2-1 dan Barca dilihat berada dalam kedudukan terbaik untuk menang apabila kapten Real, Ramos dilayangkan kad merah kerana mengasari Messi.

Namun, tuan rumah tidak mengaku kalah empat minit sebelum wisel penamat apabila pemain gantian, James Rodriguez menyelamatkan seketika Real apabila kembali menyamakan kedudukan 2-2.

Bagaimanapun, ketika perlawanan hampir tamat, Messi meranap impian satu mata Real selepas tenang merembat bola terakhir dalam perlawanan itu untuk menjaringkan gol ketiga – pada waktu kecederaan sekali gus menghidupkan semula peluang Barca memburu gelaran La Liga ketiga berturut-turut. – MalaysiaGazette