LRT
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan Kelana Jaya terjejas akibat menghadapi masalah teknikal hari ini.

Jurucakap Prasarana Malaysia Bhd ketika dihubungi Bernama berkata, gangguan sistem isyarat itu melibatkan stesen Taman Paramount dan Taman Jaya di laluan Kelana Jaya bermula pukul 6.30 pagi.

“Tren perlu dipandu secara manual apabila melalui sektor tersebut menyebabkan berlaku kelewatan.

“LRT Kelana Jaya menggunakan sistem tanpa pemandu…apabila terdapat masalah kami perlu mengarahkan juruteknik yang berada di stesen mengambil alih tugas pemanduan tren,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata perkhidmatan LRT di laluan itu telah pulih sepenuhnya pada kira-kira pukul 11 pagi tadi setelah kerja-kerja membaikpulih selesai dilakukan. – MalaysiaGazette