MIRI – Bekas atlet pecut, Watson Nyambek tidak dapat menerima permohonan maaf daripada Primework Studios dan daripada Ammar.

“Walaupun mereka minta maaf tetapi saya susah nak terima oleh kerana kita tengok macam mana (nama) bapa saya dipandang.

“Cuba tuan-tuan fikir, apa perasaan saya, kita boleh fikir. Jadi satu masa nanti (mungkin) saya terbuka saya menerima jadi sekarang saya belum menerima maaf tersebut,” katanya menerusi siaran langsung melalui FB live sebentar tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama pengacara Azizul Ammar dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Rombongan Primework diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Izham Omar ke Sarawak termasuk Ammar bagi meminta maaf dengan Watson dan keluarga.

Watson memberitahu, beliau dan keluarga memandang serius apa yang berlaku dan ia menjadi faktor beliau membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Miri, Sarawak pagi tadi.

“Pagi tadi, saya buat laporan polis kerana ini bukan (perkara) main-main. Saya akan teruskan perjuangan mencari keadilan,” tegasnya lagi.

Pada sidang media yang diadakan di Hotel Grand Palace itu, Ammar memohon maaf atas ‘ketelanjurannya’ kerana mempermainkan nama mendiang ayah Watson seolah-olah bukan kambing mengembek dalam satu slot program Sukan Tak Sentral di TV3 baru-baru ini.

“Ia menjadi pengajaran dalam kehidupan saya dan saya menyesalinya,” sambil mengakui apa yang berlaku memberi kesan kepada keluarganya sekali.

“Saya dengan serendah-rendah diri dan hati memohon maaf kepada abang Watson, isteri dan keluarga,” katanya sambil sebak.

Sementara itu, Ahmad Izham dalam soal jawab dengan wartawan memaklumkan penerbit rancangan Sukan Tak Sentral akan digantung tugas tanpa tempoh sebagai tindakan awal atas apa yang terjadi.

Penerbit terbabit juga mengakui kesalahannya dan bertanggungjawab penuh dengan apa yang berlaku.

Malah beliau mengakui, slot rakaman itu tidak sepatutnya disiarkan namun ia bukan satu yang disengajakan.- MalaysiaGazette