Duta Karnival Rakyat Jom Sihat, Datin Nur Shahida Mohd Rashid (dua kanan) menurunkan tandatangan sebagai simbolik pra pelancaran sambil diperhatikan Penasihat Pertubuhan Gerakkan Jaringan Rohaniah (GJR), Megat Syafnir Farree @ Neil Ahmad (dua kiri) pada sidang media Karnival Rakyat Jom Sihat 1Malaysia di Menara Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 25 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Pengasas D’Herbs Sdn. Bhd., Datuk Aliff Shukri dan isterinya, Datin Nur Shahida Mohd. Rashid terpilih menjadi ikon Karnival Rakyat Jom Sihat 1Malaysia.

Pengarah program berkenaan, Megar Syafnir Farre @ Neil Ahmad berkata, pemilihan pasangan suami isteri itu kerana mereka merupakan individu yang mementingkan kesihatan selain mempunyai pengaruh.

Program anjuran pertubuhan NGO, Gerakan Jaringan Rohaniah (GJR) itu menyasarkan kira-kira 30,000 pengunjung di lokasi pertamanya di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 6 Mei ini.

Menurut Megat Syafnir,  program yang berlangsung sehingga Febuari tahun depan itu bertujuan menyedarkan rakyat mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan mengamalkan cara pemakanan yang betul selain bersenam.

“Di Teluk Kemang sebanyak 40 khemah pempamer dimana 80 peratus daripadanya adalah daripada produk kesihatan selain 20 peratus lagi pempamer daripada agensi-agensi kerajaan.

“Misi utama kita adalah mendekatkan rakyat dengan produk kesihatan. Ini bukan karnival jual ubat. Ubat yang dipamer bukan dijual sesuka hati tetapi ada pengesahan daripada Kementerian Kesihatan,” kata Megat Syafnir dalam sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 33 lokasi terpilih di seluruh negara akan dijelajahi di mana destinasi terakhir adalah di Pekan, Pahang dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Nur Shahida dalam sidang media yang sama berharap karnival dan penglibatannya bersama suami dapat membuka mata orang ramai mengenai pentingnya menjaga kesihatan.

“Kadang orang tak sedar tentang kesihatan, ada yang kurus ingat mereka sihat. Kita kena ada ilmu untuk jaga kesihatan,” jelasnya. -Malaysia Gazette.