Eman Manan dan Sharonizam antara pelakon utama supertelefilem Srengenge.
KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengembangkan bakat sastera khususnya dalam bahasa kebangsaan, novel Srengenge yang pernah popular zaman 1970-an bakal diangkat ke layar supertelefilem.

Karya Sasterawan Negara, Datuk Prof. Emitarus Shahnon Ahmad itu akan disiarkan selama dua jam di saluran RTM 1 pada 6 Mei ini.

Projek perlesenan kandungan itu adalah usaha daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Harta Intelek dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan syarikat Arca Creative Sdn. Bhd.

Pengerusi Arca, Datuk Che Azizuddin Che Ismail berkata, pemilihan Srengenge kerana naskhah itu sarat dengan mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat dan penonton.

“Karya ini dipilih untuk supertelefilem kerana penuh dengan pelbagai kehidupan untuk diingati generasi dulu dan sakarang. Srengenge menurut Shahnon berasal daripada perkataan Jawa kuno yang bermaksud matahari.

“Tapi dalam karya Srengenge pada tahun 1973, penulis merujuk perkataan itu sebagai sebuah bukit yang wujud di sebuah kampung dan menjadi punca utama yang mencetuskan konflik sehingga membawa kepada ketegangan masyarakat,” katanya pada majis promosi supertelefilem Srengenge di Auditorium DBP, di sini hari ini.

_EAN8117
Turut hadir Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Projek adaptasi itu adalah yang ketiga dalam tempoh dua tahun yang diuruskan Bahagian Harta Intelek DBP sejak tahun 2016 selepas tayangan drama bersiri Kemboja di Hati dan telefilem Bening Cahaya Maulid.

Supertelefilem Srengenge dibarisi pelakon hebat seperti Eman Manan, Sahronizam, Padilah Mansor, Jasmin Hamid dan Fathil Dani.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Arca, Khairul Rizam Abu Samah berkata, cadangan untuk memuat naik supertelefilem itu ke dalam media sosial Youtube dapat memberi peluang kepada pelajar sekolah dan universiti memahami lebih cepat karya sasterawan yang divisualkan.

“Konteks letak dalam Youtube adalah tersurat, sebaliknya yang tersirat ialah memberi kepada pelajar-pelajar rendah, menengah atau di universiti untuk melihat karya-karya sastera.

“Selama ini kita boleh melihat dalam novel sahaja, tapi kali ini dapat melihat karya itu divisualkan untuk lebih cepat difahami dan dihayati,” katanya.

Menurut Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zamri Mohd. Isa pula menggalakkan pelajar-pelajar Melayu menonton supertelefilem ini agar martabat karya-karya Melayu dapat diangkat lebih tinggi.

“Sastera Melayu ini kalau boleh kita tak nak ianya pupus di negara ini. Usaha sebegini akan dapat membantu agar karya-karya ini terus diingati dan segar dalam ingatan pelajar khususnya Melayu.

“Jika usaha ini dihentikan, beliau khuatir sastera Melayu akan dilupakan. Kita minta Kementerian Pendidikan agar mengambil karya dan usaha ini untuk disebarluaskan di peringkat sekolah,” katanya.- MalaysiaGazette