Abdul Rahman Dahlan berucap pada program Bengkel Menteri-menteri ASEAN di Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 APRIL 2017.

SUBANG JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menempelak pembangkang agar tidak terus menipu rakyat dalam misi untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan.

Ujarnya, sikap berdolak dalih pembangkang terhadap isu GST menunjukkan perkara ini tidak dipandang serius oleh mereka sama ada untuk dimansuhkan atau sebaliknya.

“Masyarakat bimbang apa akan jadi apa jadi kepada kerajaan di masa akan datang. Tiada satu keputusan yang konsisten diantara mereka (pembangkang) dan buat satu keputusan yang kukuh mengenai polisi ekonomi negara.

“Katakan pembangkang nak mansuhkan GST, kena ada perancangan ekonomi lain untuk kukuhkan kedudukan atau kekalkan kedudukan ekonomi negara setakat ini.

“Jangan jadi populis kerana hendak mansuhkan GST semata-mata untuk menang PRU. Ini satu penipuan kepada rakyat kerana tidak boleh bertahan tanpa GST,” katanya kepada media selepas menjadi salah seorang ahli panel Bengkel Menteri ASEAN anjuran Universiti Sunway hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak akan memansuhkan GST jika berjaya menawan Putrajaya pada PRU14 kelak.

Sebaliknya Nurul Izzah berkata, PH akan meneruskan cukai itu dengan menurunkan kadar peratusan semasa yang dianggap tinggi dan membebankan rakyat.

Mengulas mengenai itu, Abdul Rahman berkata, siapa yang rakyat harus percaya bila dikaitkan dengan pembangkang.

Kecelaruan jelas timbul di pihak pembangkang apabila terdapat percanggahan pendapat dalam kalangan beberapa pemimpin sekaligus mencerminkan tiada persepakatan diantara mereka dalam membela nasib rakyat.

“Saya tidak tahu kerana seorang pemimpin kata mereka akan mansuhkan GST, manakala seorang lagi kata mahu teruskan GST. Kini mereka kata nak kosongkan peratusan GST. Banyak isyarat dan pendapat datang daripada pembangkang.

“Rakyat kena faham bahawa pembangkang menipu intelektual rakyat. Lainlah kalau pembangkang boleh kemukakan langkah kukuh untuk mengekalkan perolehan kerajaan.

“Kalau tidak, kerajaan tidak boleh kemukakan projek Lebuhraya Pan Borneo, Keretapi Laju dan semua projek mega lain yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya. -MalaysiaGazette.