Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (dua kanan) membuat gimik pelancaran diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua kiri), Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kiri) dan Pengasas dan Pengerusi Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Hong (kanan) pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi PandanMas di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Seramai 300 penduduk setinggan yang tidak mampu membayar deposit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) di Residensi Pandanmas menerima pembiayaan pinjaman penuh seratus peratus.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam majlis penyerahan kunci rumah berkenaan petang tadi.

“Saya diberitahu mereka ini tidak mampu nak bayar deposit 10 peratus, tak mampu bayar, jadi kita beri seratus peratus pinjaman.

“Ini salah satu keistimewaan program yang kita lancarkan hari ini,” katanya.

Residensi RUMAWIP merupakan sebahagian program penempatan semula melibatkan setinggan di ibu kota yang majoriti terdiri daripada masyarakat India.

“Kira-kira 300 orang penduduk setinggan yakni kebanyakan warga India yang tinggal di sini hampir 30 tahun, mereka akan dapat rumah baharu dengan harga RM42,000 seunit.

“Barangkali harga sebenarnya lebih tinggi dan mereka juga akan dapat pinjaman seratus peratus daripada Yayasan Wilayah Persekutuan sumbangan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Najib, program RUMAWIP tidak mementingkan golongan tertentu sahaja sebaliknya memberi keutamaan kepada semua kelompok masyarakat.

Projek Residensi Pandanmas berkeluasan 850 dan 900 kaki persegi disasarkan kepada warga ibu kota yang berpendapatan sederhana.

RUMAWIP yang dilaksanakan secara perkongsian di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan Syarikat Faber Vista Sdn. Bhd. yang dijual pada harga di bawah RM300,000.

Ini merupakan antara inisiatif kerajaan dalam membantu golongan M40 memiliki rumah pada harga yang rendah dan berpatutan berbanding nilai pasaran semasa.

Dalam pada itu, Najib juga memuji pemaju kerana berjaya menyiapkan sembilan bulan lebih awal  bulan daripada tempoh yang ditetapkan.

“Uniknya projek ini juga, kaedah first-come, first-served diperkenalkan bagi memberi kepada pembeli menentukan sendiri unit pilihan mereka berbanding sistem pengundian yang digunakan dalam program RUMAWIP lain,” katanya. – MalaysiaGazette