Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin

KUALA LUMPUR – ‘Raja Bomoh Malaysia’ atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin hari melakukan pengakuan taubat secara terbuka untuk tidak melakukan apa-apa ritual perbomohannya yang boleh menimbulkan kontroversi.

Pengakuan taubat itu dilakukan dalam satu majlis di Kompleks Pusat Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebentar tadi.

“Saya sebenarnya minta maaf kepada umat Islam khasnya dan kepada bukan golongan bukan Islam. Saya buat semua ini bukannya kehendak saya.

“Saya diarahkan pihak tertentu untuk buat cerita (semua aktiviti saya) ini sebagai drama untuk menjaga kepentingan mereka. Tapi saya tidak boleh beritahu siapa,” katanya dalam sidang media khas di JAWI hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Pengarah JAWI, Abdul Aziz Jusoh.

Ujar Ibrahim, ada individu yang meminta beliau melakukan ritual berkenaan dengan tujuan tertentu, bagaimanapun Ibrahim enggan menamakan individu berkenaan.

Antara ritual yang pernah dilakukan Ibrahim adalah ritual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berhubung insiden kehilangan pesawat MAS MH370 pada 2015 lalu, ritual di hadapan Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) berhubung pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong nam dan di Bagan Lalang dalam upacara memagar negara daripada diserang negera berkenaan.

Ibrahim, Jumaat lalu ditahan pada jam 2.30 pagi dipercayai di sebuah hotel di Segamat, Johor.

Pada 22 Mac lalu, Raja Bomoh itu tidak mengendahkan arahan untuk hadir ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memberi penjelasan berhubung video viral menunjukkan dirinya mengadakan upacara ritual di pantai, kononnya bertujuan melindungi Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara, bulan lalu.

Video beliau bersama pembantunya melakukan ritual menggunakan meriam buluh untuk “menggagalkan” ancaman asing atau serangan ke atas Malaysia mula bersebar di laman sosial pada 12 Mac lalu.

“Orang-orang ini menyuruh saya membuat lima drama. Yang pertama drama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengenai jerebu dan mayat Jong nam di Hospital Besar Kuala Lumpur dan juga di Bagan Lalang (upacara memagar negara daripada Korea Utara. (Mereka) arah saya buat.

“Saya sebelum itu bertanya boleh ke saya lakukan upacara seperti ini? Tidak salah sebab nenek moyang saya pernah buat, saya tidak berani buat justeru saya tanya mereka boleh buat ke upacara begini.

“Mereka kata buatlah. Jadi saya pun tidak tahu dan merujuk kepada Mufti tetapi merujuk kepada ketua (sesorang yang arahkan), dia kata buat,” katanya lagi.

Ibrahim sebelum ini didakwa menghina agama Islam dan bukan Islam di negara ini berhubung tindakannya menggunakan teropong dalam membantu menyelesaikan beberapa kejadian yang berlaku di negara ini.

“Saya taubat nasuha untuk tidak buat lagi. Saya buat ini di depan Mufti Wilayah Persekutuan, saya tidak akan buat lagi.

“Disuruh pun saya tidak hendak (mahu) buat lagi. Bukan ada bayaran apa-apa kepada saya. Mereka tidak ada bagi apa-apa kepada saya,” ujar Ibrahim lagi.

Terdahulu, Ibrahim mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 7 (a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina. – MalaysiaGazette.