Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti sekolah hotspot yang cenderung menerima pengaruh kongsi gelap atau geng.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya telah berbincang dengan polis mengenai isu buli dan geng di sekolah dan masing-masing mengenal pasti sekolah yang terdedah kepada risiko pengaruh jahat tersebut.

Walaupun tidak mendedahkan sekolah-sekolah hotspot, Sin Woon bagaimanapun memberitahu, isu kongsi gelap dalam sekolah tidak bertambah buruk dan jumlah murid yang terlibat dengannya juga tidak melonjak.

Menurutnya lagi, pihak sekolah akan terus memantau kewujudan kegiatan berasaskan geng dalam sekolah dengan menggunakan prosedur yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Katanya, seorang polis turut ditugaskan untuk setiap sekolah dan pihak sekolah dapat menghubungi anggota polis itu pada bila-bila masa.

“Mengikut prosedur yang ditetapkan, pilihan pertama sekolah ialah memberi bimbingan kaunseling kepada pelajar yang terlibat dengan kongsi gelap. Pihak sekolah juga boleh merotan pelajar berkenaa jika dia melakukan kesalahan dalam kawasan sekolah.

“Sekiranya melibatkan kesalahan yang serius, maka sekolah boleh menggantung persekolahan pelajar,” katanya kepada China Press.

Ujarnya, pelajar akan diserahkan kepada polis jika mereka melakukan kesalahan di luar sekolah- MalaysiaGazette