Caruman untuk pekerja 60 tahun sudah berkuatkuasa.

PETALING JAYA – Separuh daripada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati sudah tidak aktif atau tidak konsisten dalam caruman.

KWSP pada masa ini mempunyai lebih 14 juta ahli tetapi kajian mendapati purata simpanan mereka pada umur 54 tahun hanyalah RM204,288 berbanding paras RM214,000 yang diharapkan kumpulan simpanan itu.

Keadaan itu bermakna pencarum berkenaan mungkin tidak dapat menikmati hari persaraan yang selesa jika mereka tidak mempunyai sumber kewangan lain.

Dengan caruman yang gagal mencapai paras yang diharapkan KWSP, pencarum dengan jangka hayat 75 tahun akan mempunyai duit belanja kurang daripada RM950 setiap bulan dan ia mungkin tidak dapat menjanjikan hari tua yang selesa.

Sinchew Daily melaporkan, statistik daripada KWSP turut menunjukkan bahawa terdapat jurang caruman antara kaum Adam dan Hawa sekali gus menandakan perbezaan pendapatan antara dua jantina itu.

Purata simpanan untuk pencarum lelaki berumur 54 tahun adalah sebanyak RM214,000 berbanding RM174,974 untuk wanita.

Dalam pada itu, sebanyak 635,037 orang telah bertukar kepada simpanan Syariah sejak akaun itu diperkenalkan pada Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette