KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini adalah umpan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh mendakwa rancangan bersifat perkauman sudah menjadi budaya tradisi UMNO.

“Walaupun (Datuk Seri) Najib Razak menafikan pelan induk tersebut bukan satu lakonan atau retorik politik dan terkandung dalam pengumuman Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sejak tahun 2015 namun hakikatnya ia tidak boleh dielak daripada ditafsir sebagai umpan pilihan raya.

“Tidak mustahil selepas ini ada pelancaran pelan induk untuk orang-orang Cina dan pelbagai kaum pula. Semuanya majlis besar-besaran, berstatus mega dan menjanjikan yang indah lagi hebat walaupun agenda sekarang gagal membawa rakyat dan negara ke tahap yang jauh lebih baik,” kata Syed Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga mendakwa Najib telah mengkhianati ikrar nambikei (amanah) kepada rakyat Malaysia yang berasal dari India.

Contoh, beliau merujuk kenyataan Pengerusi Hindraf, P. Waytharmoorthy yang mendakwa Najib tidak memenuhi janji sumbangan RM4.5 bilion kepada pihaknya seperti dijanjikan pada pilihan raya sebelum ini.

“Waythamoorthy yang pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata, pada Oktober 2016 bahawa ia bukan kali pertama Najib membuat janji yang akhirnya tidak ditunaikan.

Bagaimanapun, Syed Ibrahim menyambut baik sebarang pelan tindakan yang boleh membangun rakyat Malaysia tidak kira kumpulan etnik atau budaya.

“Ini kerana antara ciri terpenting sebagai pemerintah dan pemimpin ialah memastikan kesejahteraan rakyat menurut keperluan dan keadaan berasaskan kepada prinsip keadilan sosial dan ekonomi,” katanya. – Malaysia Gazette