Kuala Lumpur- RHB Bank Bhd. tidak mengadakan sebarang rundingan dengan AMMB Holdings Bhd, demikian menurut Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh.

“Tiada sebarang rundingan berhubung penggabungan dengan mana-mana bank,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat tersebut di sini hari ini.

Khairussaleh sebelum itu mengumumkan dividen terakhir sebanyak 7 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2016 dengan membabitkan peruntukan berjumlah RM280.7 juta.

Tambahnya, bersama-sama dengan dividen interim sebanyak 5 sen yang dibayar pada September 2016, jumlah dividen bagi tahun lalu ialah 12 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran dividen sebanyak 28.6 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan iaitu RM1,681.6 juta bagi tahun kewangan 2016.

“Imbangan kewangan kami tetap kukuh, berikutan modal dan kecairan pada tahap selesa sekali gus meletakkan kami dalam kedudukan baik untuk memacu pertumbuhan yang lebih mapan,” katanya lagi.

Dalam AGM itu, Kumpulan RHB Bank melantik dan memilih semula empat Lembaga Pengarah iaitu Tan Sri Azlan Zainol sebagai Pengerusi Kumpulan, Ong Seng Pheow (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif), Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria (Bebas Bukan Eksekutif), Tan Sri Saw Choo Boon (Pengarah Bukan Eksekutif).-MalaysiaGazette