Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Ranjit Ajit Singh berucap pada pelancaran 'Malaysian Code on Corporate Governance' di pejabat Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara. foto FAREEZ FADZIL, 26 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) yang baharu bagi mengukuhkan budaya korporat berlandaskan kebertanggungjawaban dan ketelusan.

Pengerusi SC, Tan Sri Ranjit Ajit Singh berkata, kod baharu itu merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan Malaysia untuk menggalakkan tadbir urus yang baik bagi memastikan kemampanan dan daya tahan pasaran modal.

“Ia berfungsi sebagai panduan kepada lembaga pengarah untuk mengendali syarikat mereka dan meningkatkan kefahaman mereka mengenai tadbir urus korporat,” katanya semasa berucap mengumumkan MCCG di sini hari ini.

Tambah Ranjit, salah satu ciri utama kod baharu itu adalah pengenalan pendekatan Memahami, Mengguna Pakai dan Melapor (CARE) dan peralihan daripada ‘patuh atau menjelaskan’ kepada ‘mengguna pakai atau menjelaskan alternatif’.

Ini adalah bagi menggalakkan syarikat-syarikat tersenarai memikir dan membuat pertimbangan dengan lebih teliti apabila mengguna pakai dan melaporkan mengenai amalan tadbir urus korporat mereka.

Menurut Ranjit, serentak dengan pengumuman MCCG, SC turut melancarkan pelan strategik tiga tahun bagi menggariskan keutamaan-keutamaan tadbir urus korporat yang merangkumi pengukuhan ekosistem, memanfaatkan teknologi dan menggalakkan kepelbagaian gender dalam lembaga pengarah,

Pelan strategik itu turut merangkumi penerapan budaya tadbir urus korporat di peringkat awal.

MCCG berkuatkuasa hari ini dan kumpulan pertama syariat yang dijangka melaporkan amalan-amalan dalam kod baharu tersebut adalah syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.-MalaysiaGazette