Dr. Mahfodz Mohamed

ALOR SETAR – Tema Muktamar Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) tahun ini ialah Ke Arah Membina Negara Sejahtera.

Ketuanya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed mengulas panjang mengenai tema itu untuk memberi kesedaran kepada perwakilan betapa seriusnya perjuangan parti mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan sedia ada.

Malaysia Gazette sempat menemuinya untuk mendapatkan kesimpulan daripada intipati ucaputamanya pada majlis perasmian muktamar DUPP kali ke-56 di Sekolah Rendah Islam, Darul Ulum, dekat sini, hari ini.

MAHFODZ: Saya tekankan tadi supaya DUPP dengan kerjasama Jawatankuasa Kerja Pas Pusat turun ke akar umbi mengumpul seramai mungkin ulamak yang ketika ini dalam keadaan ‘berselerak’.

Mereka ini, walaupun tinggal di kampung, di desa dan di kawasan pedalaman adalah intan permata yang harus digilap kerana ilmu dimilikinya bukan untuk kegunaan diri sendiri tetapi kepada seluruh umat di negara ini.

Sebab itu, dalam ucaptama tadi, saya mencadangkan kepada Pas Pusat agar mewujudkan Dewan Ulamak di peringkat kawasan untuk mereka ini bertindak mendekati ulamak terpinggir ini.

Kita tidak mahu ulamak ini terjerumus dalam perangkap musuh.

Kita hendak bawa mereka ini bersama kita. Berikan fikrah kepada mereka supaya mereka merasakan ada organisasi parti politik mengambil berat pada mereka.

Bagaimanapun, untuk mewujudkan entiti di peringkat kawasan ini, Pas perlu meminda perlembagaannya. Jika diluluskan, kita akan tunaikan hasrat DUPP. Kita mahu ulamak yang juga ahli Pas ini mempunyai kekuatan jati diri.

Saya juga memberikan peringatan kepada kepimpinan dan ahli DUPP mengenai pentingnya kita sama-sama memangkin perjuangan Pas menjadikan sebuah parti yang lebih berwibawa bagi mencapai kata maksud, Membina Negara Sejahtera. – MalaysiaGazette