KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggesa syarikat Malaysia memanfaatkan Sepanyol sebagai pintu masuk ke pasaran Eropah dan Amerika Latin.

Menurut Matrade, sebagai ekonomi ke-14 terbesar di dunia dan kelima terbesar di EU dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai AS$1.2 trilion, Sepanyol adalah antara pasaran yang paling menarik di Eropah.

“Terdapat banyak peluang perniagaan bagi syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan syarikat Sepanyol.

“Sektor tumpuan termasuklah penjagaan diri, aksesori fesyen, makanan segera, hospitaliti, perniagaan dalam talian, pendidikan dan khidmat nasihat perniagaan.

“Ekonomi Sepanyol berkembang dengan kukuh pada 2016, diterajui oleh permintaan domestik yang didorong oleh dasar monetari di kawasan Euro dan rangsangan fiskal,” menurut Matrade dalam satu kenyataan.

Industri francais di Sepanyol turut berkembang pada kadar yang kukuh dengan jumlah perolehan sebanyak 26.5 juta euro, mempunyai 1,232 jenama, termasuk jenama utama seperti Dia, Mango, Fotoprix, Naturhouse, Telepizza, dan MRW.

Bagi tempoh Januari-Februari tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia dengan Sepanyol sebanyak RM794.5 juta dengan nilai eksport berjumlah RM387.6 juta dan import RM406.9 juta.

Pada tahun lalu, jumlah perdagangan Malaysia dengan Sepanyol sebanyak RM4.43 bilion dengan eksport bernilai RM2.33 bilion manakala import RM2.10 bilion. – MalaysiaGazette