KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menimbang untuk menamatkan perkhidmatan kargo kepada syarikat-syarikat tertentu yang menyebabkannya mengalami kerugian mencecah belasan juta ringgit sejak beberapa tahun lepas.

Pengerusinya, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata ini berikutan hasil kajian menunjukkan KTMB kerugian atas faktor termasuk masih mengenakan caj pada kadar lama kepada syarikat-syarikat terbabit selain terpaksa menanggung peningkatan kos harga minyak dan gaji pekerja setiap tahun.

“Pihak KTMB menanggung kerugian (perkhidmatan kargo) sebanyak RM54 juta setiap tahun namun ia berkurangan kepada nilai lebih kecil iaitu kira-kira RM20 juta tahun lepas.

 “Saya dapati daripada 30 perkhidmatan tren kargo yang beroperasi, hanya lapan tren sahaja yang memberi untung

“Oleh itu, KTMB terpaksa mengambil tindakan itu jika kita masih gagal memperoleh sekurang-kurangnya pulangan modal bagi perkhidmatan itu tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Cemerlang kakitangan KTMB serta majlis pelancaran visi serta dan misi syarikat itu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nawawi berkata pihaknya telah mengarahkan pihak pengurusan KTMB mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat terbabit bagi mencari jalan penyelesaian.

“Contohnya, sebuah syarikat simen yang menggunakan perkhidmatan KTMB mencatat keuntungan sebanyak RM700 juta namun KTMB (sebaliknya) rugi RM15 juta bagi perkhidmatan (kargo) untuk syarikat itu,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Nawawi berkata KTMB kini lebih menumpukan kepada usaha meningkatkan keuntungan perniagaan bukan rel daripada sembilan peratus pada masa ini kepada 40 peratus pada masa depan.

“Usaha ini akan dilakukan secara berperingkat dan KTMB menyasarkan keuntungan perniagaan bukan rel meningkat kepada 30 peratus dalam masa lima tahun.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, KTMB akan bekerjasama dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk membangunkan stesen-stesen utama di Lembah Klang bagi mewujudkan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD),” katanya.

Sementara itu, majlis yang julung kali diadakan di peringkat keseluruhan KTMB itu bertujuan meraikan kakitangan cemerlang menerusi pemberian anugerah bagi tiga kategori iaitu kakitangan terbaik, kumpulan terbaik dan kumpulan berinovasi terbaik.

Pemenang kategori kakitangan terbaik membawa pulang RM2,000, trofi dan sijil penghargargaan manakala pemenang kumpulan dan kumpulan berinovasi terbaik masing-masing menerima wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penghargaan. – BERNAMA