Gambar hiasan

KUALA KANGSAR – Pendapatan tahunan penoreh getah di negara ini pada 2016 tidak setanding gaji pekerja asing.

Nanyang Siang Pau melaporkan, walaupun harga getah mengecapi RM4 sekilogram baru-baru ini, tetapi kenaikan harga itu gagal menggembirakan pemilik kebun dan penoreh getah.

Menurut penoreh getah, pendapatan bersih mereka gagal mencecah RM1,000 sebulan, iaitu gaji minimum yang ditetapkan kerajaan untuk semua pekerja termasuk pekerja asing.

Harga getah menjunam pada 2013 sehingga ke paras RM1 hingga RM2 sekilogram dan keadaan itu berterusan sehingga November tahun lalu.

Pemilik kebun juga perlu membahagikan duit dengan penoreh getah sekali gus menyebabkan hasil jualan sebanyak RM900 tinggal RM450 sahaja selepas separuh pendapatan diberikan kepada penoreh.

Penoreh getah pada masa ini juga berdepan musim keguguran daun yang bermakna terhentinya aktiviti penorehan.

Keadaan itu bermakna penoreh getah tidak dapat mengambil kesempatan daripada kenaikan harga getah.

“Pokok getah memasuki musim keguguran daun sejak Februari dan ia juga menandakan terhentinya aktiviti penorehan selama tiga bulan.

“Keadaan ini bermakna kami gagal menyediakan bekalkan walaupun harga pasaran adakah baik,” kata peniaga getah dari Kampung Baru Liman Kati di Kuala Kangsar, Perak, Yan Jian Yuan.

Menurutnya, bukan semua penoreh getah menghentikan penorehan selama tiga bulan, kerana ada yang hanya terjejas selama sebulan bergantung kepada keadaan keguguran daun.

Katanya, perubahan cuaca menyebabkan sesetengah pokok getah menerima kesan keguguran yang minimum sekali gus membolehkan aktiviti penorehan dipulihkan dengan cepat.

Kerajaan pada 2016 pernah mengumumkan bantuan khas RM500 kepada pekebun kecil getah yang menerima tamparan hebat daripada kejatuhan harga getah dunia.