Beberapa perwakilan kelihatan kusyuk ketika mendengar perbahasan pada Majlis Perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS sempena Muktamar PAS kali ke 63 di Sekolah Rendah Darul Ulum, Tandop, Kedah. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2017

ALOR SETAR – Keputusan Dewan Ulama Pas menerima cadangan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR bukan satu yang mengejutkan.

Fokusnya sudah tentu di Selangor dimana Pas dan PKR masih bergabung dalam kerajaan negeri yang masih mengikut kerangka Pakatan Rakyat dahulu.

Bagaimanapun, ia bukanlah suatu perkara yang mengejutkan ekoran tindakan mulut celupar Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor.

Apa yang berlaku menjadi titik tolak Pas sudah tidak mahu ada kena mengena lagi dengan PKR.

Umum tahu, kumpulan ulama merupakan golongan yang menjadi rujukan berkenaan hal-hal agama bagi menyelesaikan segala kesulitan dalam kehidupan dan merupakan kelompok penting dalam Pas.

Justeru, suka atau tidak, golongan ulama dalam Pas perlu dihormati dan sebarang penghinaan kepada mereka tidak akan diterima.

Jadi, gesaan oleh Perwakilan Dewan Ulama Pas Selangor, Nik Bakri Nik Mat semalam untuk memutuskan hubungan yang terjalin sekian lama dengan PKR di Selangor mendapat sokongan.

Gesaan tegas Nik Bakri yang turut disambut dengan laungan takbir itu antara lain berikutan keceluparan mulut Mohamed Azmin yang menyindir seorang ‘tok lebai’ tewas dalam pemilihan Pas.

Sepanjang berlangsung hari pertama muktamar, perkara dibangkitkan perwakilan rata-rata berkisar tentang isu kenyataan ‘tok lebai’ oleh Mohamed Azmin yang tidak sensitif sehingga menjadi punca utama berakhirnya tahaluf siyasi Pas dengan PKR.

“Kami sebagai ulama Selangor yang melihat kedhaifan itu, bila mana alim ulamak dihina sebagai mana baru-baru ini MB (Menteri Besar) Selangor daripada PKR menghina dengan bahasa tok lebai.

“Maka bagi kami tidak ada suatu yang boleh kami terima, bahkan kalau boleh kami mahu putus (hubungan) segera.

“Mohamed Azmin sebelum ini seperti mahu menandingi populariti adik kandungnya, Azwan Ali sebagai mulut celupar, menggelar seseorang ulama sebagai ‘tok lebai’,” kata Nik Bakri.

Meskipun tidak menyatakan secara jelas individu yang dimaksudkan, ada yang kata merujuk kepada Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz.

Siapa pun, kritikan itu pasti terpalit kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Dunia.

Istilah ‘tok lebai’ itu kemudiannya merebak dan dihina oleh wakil rakyat DAP dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor bulan lepas.

Sidang Dewan DUN Selangor ketika itu tegang apabila seorang ADUN DAP mengeluarkan perkataan ‘tok lebai’ yang dikatakan menyentuh sensitiviti umat Islam negara ini.

MUKTAMAR PASCA NIK AZIZ

Justeru, sudah menjadi kelaziman, dua kali muktamar selepas pemergian mantan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Febuari 2015, ia lebih fokus ke arah untuk memutuskan hubungan dengan parti-parti pembangkang yang suatu ketika dahulu mereka boleh duduk semeja dan berbincang mengenai hala tuju menentang kerajaan Barisan Nasional.

Baik sama ada kerjasama politik dengan parti lain mahu pun memutuskan hubungan dengan membina tembok pemisah antara kumpulan pro ulama dan kumpulan profesional.

Muktamar Pas pada Jun 2015, setengah tahun selepas pemergian Nik Aziz menyaksikan kekalahan teruk kumpulan profesional Pas dalam pemilihan parti itu.

Keadaan itu akhirnya mendorong blok kumpulan yang kalah mengasaskan parti baru yang dikenali sebagai Parti Amanah Negara (PAN).

Pada muktamar tahun sama, parti Islam itu turut memutuskan kerjasama politik dengan DAP.

Terbaharu pada muktamar tahun ini, Dewan Ulama Pas menerima usul tanpa bahas supaya memutuskan hubungan dengan PKR khususnya di Selangor.

Keadaan itu sedikit sebanyak membenarkan tafsiran sesetengah pihak yang pemilihan pada sidang Muktamar Pas merupakan medan pemutus ukhwah.

Dan, trend itu berlaku dan terus berlaku selepas ketiadaan Nik Aziz.

Ironinya, berbaloikah tindakan Dewan Ulama Pas menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR di hanya semata-mata kerana sindiran ‘tok lebai’ oleh Mohamed Azmin.

Sebagai rujukan, Dewan Bahasa Pustaka mentakrifkan perkataan ‘lebai’ sebagai orang yang mengetahui hal-hal agama atau orang yang taat kepada agama.

Maksudnya baik namun konotasinya dalam bacaan kaca mata politik Pas sekarang mungkin jelik. – MalaysiaGazette