Reaksi ceria Adam Rosly ketika diiringi anggota keselamatan sebaik keluar dari Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyalahkan pemimpin mudanya, Datuk Adam Rosly Abdullah yang terpalit dengan skandal rasuah selepas pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini sebagai mencemarkan imej PKR dan mahu beliau digantung daripada jawatannya.

Ketua sayapnya, Nik Nazmi Nik Ahmad dipetik berkata tidak berpuas hati dengan Adam Rosly selepas enggan membuat penjelasan kepada parti berhubung kekayaan yang dimilikinya dan tindakannya itu pada masa sama menyebabkan imej parti tercalar daripada sudut pandangan orang ramai.

“Situasi sudah berubah sekarang kerana beliau sudah didakwa. Beliau sepatutnya menjawab semua soalan yang dibangkitkan.

“Bagaimanapun beliau enggan mengemukakan maklumat dan ini sudah mencalarkan AMK,” kata Nik Nazmi.

Nik Nazmi juga mengakui mereka mengetahui tentang kekayaan Adam Rosly tetapi tidak mempersoalkannya kerana beliau bukan seorang wakil rakyat atau memegang jawatan dalam GLC di Selangor, cuma pendakwaan oleh SPRM baru-baru ini memberikan gambaran lebih jelas kerana tindakannya memberi maklumat palsu kepada SPRM.

Adam Rosly, 30, didakwa mengemukakan empat dokumen palsu dan memberi dua keterangan palsu ketika percakapannya dirakamkan oleh pegawai SPRM di ibu pejabat Putrajaya pada 22 Februari lalu.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Kedua-dua kesalahan itu boleh membawa hukuman denda sehingga RM3 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun.

Pada 15 November lalu, UMNO Bahagian Ampang membuat laporan kepada SPRM bagi menyiasat kekayaan luar biasa yang didakwa dimiliki oleh Adam Rosly. – MalaysiaGazette