LOS ANGELES – Penghibur antarabangsa, Madonna melahirkan rasa tidak puas hatinya dengan projek filem biopik mengenai kisah hidupnya, Blonde Ambition.

Menerusi akaun Instagram miliknya, Madonna memberitahu, pihak lain tidak layak dan berhak bercerita tentang kisah hidupnya melainkan dirinya sahaja.

“Tiada siapa tahu apa yang saya tahu dan lihat. Hanya saya berhak bercakap tentang kisah hidup dan diri saya.

“Mereka yang cuba berbuat demikian adalah penipu dan bodoh serta mahu mencari kepuasan diri sendiri tanpa melakukan sebarang kerja.

“Ini adalah penyakit dalam masyarakat kita,” tulis Madonna yang menceburi dunia seni sejak tahun 1979.

Rasa tidak puas hati disuarakan sehari selepas pengumumam projek itu yang ditulis oleh Elyse Hollander.

Filem biopik yang diterbitkan oleh Michael De Luca yang juga merupakan penerbit filem Fifty Shades of Grey itu akan memaparkan kisah kejayaan yang dikecapi Madonna.

Ia turut mengandungi kisah cinta dan kehidupan seharian diri penyanyi berusia 58 tahun itu. – MalaysiaGazette