Datuk Lokman Noor Adam

PUTRAJAYA – Golongan cerdik pandai yang taksub dengan Rafizi Ramli sebenarnya terpedaya dengan latar belakang Naib Presiden PKR itu.

Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam berkata, beliau mengakui Rafizi seorang yang hebat dalam bertutur dan sering menjadi juara dalam pertandingan debat semasa di peringkat sekolah dan universiti.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Ahli Parlimen Pandan itu hanya menggunakan kedudukannya sebagai senjata untuk menghalalkan diri dengan menipu orang.

“Dia seorang yang cukup licik tetapi penipuan-penipuannya selalu kantol (terbongkar).

“Dia bercakap tidak menggunakan fakta. Orang ingat dia ni akauntan yang bijak dalam sesuatu subjek yang dibicarakan.

“Tetapi dia tidak menguasai tajuk yang dia percakapkan dan banyak penipuannya mudah dikesan,” katanya kepada MalaysiaGazzete malam tadi.

Lokman berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Memahami Kedudukan Ekonomi Negara yang Sebenar bersama Masyarakat Tionghua.

Seramai kira-kira 50 orang yang terdiri dalam kalangan usahawan hadir mendengar ceramah yang disampaikan Lokman dan Penasihat Gerakan Medianya Datuk Seri Dr Rusli Zaman.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, beliau berasa kecewa dengan sikap golongan cerdik pandai yang dengan mudah diperdaya dengan tipu muslihat Rafizi itu.

“Dia orang ni cerdik pandai ada yang memiliki ijazah dan doktor tetapi terpengaruh dengan Rafizi,” ujarnya.

Tambah beliau, sama ada bagus atau tidak, Rafizi disifatkannya sebagai seorang yang suka cakap semberono apatah lagi suka mereka-reka fitnah. – MalaysiaGazette