Pas tetap kuat walaupun berlaku perpecahan

ALOR SETAR – Teka teki mengenai hubungan Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan lagi rumit untuk dijawab.

Pada persidangan hari pertama Dewan Ulama Pas Malaysia (DUPM) dan Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) semalam pun sudah memberi klu sejauhmana hubungan tahaluf siyasi kedua parti itu.

Boleh dikatakan, keseluruhan inti pati perbahasan perwakilan kedua-dua entiti Pas Pusat itu mahu Majlis Syura memutuskan hubungan dengan PKR.

Ahmad Yunus pegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayudan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.
Ahmad Yunus pegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayudan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

Alasan mereka ialah PKR mempunyai hubungan baik dengan Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP, iaitu dua parti yang menyebabkan Pas merajuk hati untuk terus bersama blok pembangkang Pakatan Harapan (PH).

Dalam sesi perbahasan semalam, beberapa perwakilan DUPM memberitahu, mereka sudah patah hati dengan PKR dan menganggap sekiranya Pas menamatkan hubungan pun, tidak memberi kesan besar.

Bahkan, mereka yakin Pas boleh berdiri dengan kaki sendiri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Ini dikuatkan lagi dengan ucapan perasmian persidangan DUPM oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakub yang menyifatkan parti sekular sosialis lebih bahaya daripada parti sekular nasionalis, yang dirujuk kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan tidak mempunyai masalah untuk mengumumkan keputusan itu dalam ucapan dasarnya esok.

Beliau sudah tentu berbincang lebih awal dengan Majlis Syura mengenai usul perwakilan dari DUPM dan DPPM itu.

Zaidy Abdul Talib pegang portfolio Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani
Zaidy Abdul Talib pegang portfolio Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

Namun, ramai percaya, Abdul Hadi akan membuat keputusan menggembirakan para perwakilannya dengan memutuskan kerjasama antara parti itu dengan PKR Selangor.

Jika ramalan ini benar, maka berlaku perubahan besar dalam struktur pentadbiran kerajaan PH negeri, yang mana tiga anggota Exco Kerajaan Negeri dari Pas akan digugurkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bukan itu sahaja, Mohamed Azmin juga akan menggugurkan jawatan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ketua-ketua Kampung dan semua jawatan lantikan kerajaan negeri dari kalangan pemimpin mahupun ahli Pas.

Dengan itu juga, kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dengan pembangkang akan menyaksikan perubahan.

Antara perubahan itu ialah kerajaan PH Selangor yang mempunyai 43 kerusi iaitu DAP (15), PKR (13), Pas (13) dan PAN (dua) akan mengecil kepada 30 kerusi.

Manakala pihak pembangkang Selangor yang sebelum ini mempunyai 13 kerusi iaitu BN 12 kerusi dan Bebas satu kerusi akan bertambah kepada 26 kerusi.

Kedudukan kerajaan PH selepas ini ialah DAP-15, PKR-13 dan PAN-2, manakala pembangkang pula, Pas-13, BN-12 dan Bebas-1.

Sekiranya andaian ini menjadi kenyataan, PH masih kekal mentadbir Selangor sehingga tamat tempoh penggal PRU13 iaitu dari 2013 hingga April 2018.

Untuk mengisi tiga kerusi Exco Kerajaan Negeri yang bakal dikosongkan Pas, ada kemungkinan dua ADUN PAN Selangor iaitu Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) berpeluang menggantinya.

Tiga anggota Exco Kerajaan Negeri dari Pas ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib. – MalaysiaGazette