Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khairul Anuar Baharum (tengah) diiring pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sambil tangan digari untuk perintah reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan Liga Perdana di Mahkamah Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 15 APRIL 2017

SEREMBAN – Dua bekas pemain bola sepak hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merasuah dua pemain kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA), bulan lalu.

Khairul Anuar Baharum, 43, atau lebih dikenali sebagai Ah Chong dan G Prem Kumar, 49, mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa membacakan dua pertuduhan di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, kedua mereka didakwa merasuah dengan nilai suapan masing-masing RM10,000 kepada Mohd Khairul Izzuwan Shaari dan S Harivarman iaitu penjaga gawang dan pemain MISC-MIFA.

Suapan itu bagi mengatur perlawanan antara MISC-MIFA dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak supaya tewas 2-0 yang berlangsung pada 7 April lalu.

Perbuatan itu dilakukan di Kawasan Industri Ringan Senawang di sini, pada 27 Mac lalu antara jam 9 hingga 10 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi manakala Ah Chong diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan Prem Kumar diwakili Datuk Geethan Ram Vincent.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Mei ini. – MalaysiaGazette