Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – PKR memberi kata dua kepada semua ahli Pas di Selangor supaya meletak jawatan yang dipegang mereka dalam kerajaan negeri dengan segera selepas muktamar hampir meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dengan parti itu.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang berkata ahli-ahli Pas tidak perlu melengahkan masa dan perlu melepaskan jawatan mereka serta-merta secara terhormat.

“Adalah lebih molek sebarang keputusan dimuktamadkan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana jika Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan Keadilan (PKR) secara muktamad, perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi semua ahli Pas yang mempunyai jawatan di dalam kerajaan Selangor meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu dimuktamadkan,” kata Saifuddin.

Semalam, Muktamar Dewan Ulama Pas meluluskan tanpa bahas usul untuk memutuskan ‘tahaluf siyasi’, istilah Arab yang diguna pemimpin Pas bagi merujuk kerjasama politik dengan parti lain.

Usul tersebut hampir pasti diluluskan secara rasmi hari ini.

Muktamar PAS kali ini yang diadakan di Alor Setar dihadiri kira-kira 1,200 perwakilan, dan akan berakhir 1 Mei.

Saifuddin berkata, PKR tidak terkejut sekiranya usul itu diluluskan hari ini, bagaimanapun kesal dengan tuduhan terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Timbalan Presiden PKR.

Pas mempunyai tiga anggota Exco Kerajaan Negeri iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Iskandar sebelum ini juga ada membangkitkan kebimbangan banyak jawatan yang dipegang oleh ahli-ahlinya seperti imam, ahli majlis dan ketua kampung bakal hilang jawatan jika keputusan memutuskan hubungan itu menjadi realiti. – MalaysiaGazette