KUALA LUMPUR – Standard Chartered Bank Malaysia (StanChart) memperkenalkan cuti bersalin bergaji penuh selama 20 minggu manakala semua pekerja pula dibenarkan untuk bekerja secara fleksibel.

Ini merupakan keistimewaan pertama yang diberikan dalam industri perbankan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, StanChart mengumumkan manfaat tersebut sempena sambutan Hari Pekerja.

Menurut bank tersebut, ia merupakan sebahagian daripada fokus bank tersebut untuk menyokong perubahan keperluan di tempat kerja.

“Sebagai sebahagian daripada budaya bank yang mesra keluarga, ia akan menambah cuti bersalin bergaji penuh kepada pekerja wanita manakala pekerja lelaki pula akan menikmati dua minggu cuti ihsan sekiranya isteri mereka bersalin.

Bagi ibu bapa angkat baharu pula, mereka berhak untuk mendapat gaji penuh semasa mengambil cuti ‘adoption leave’ selama dua minggu.

“Keistimewaan ini diberikan kepada semua pekerja bank tanpa mengira tempoh perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, bank turut mengamalkan amalan bekerja fleksibel dengan menawarkan pilihan untuk bekerja separuh masa, memilih waktu bekerja fleksibel atau bekerja dari rumah pada hari-hari tertentu mengikut peranan masing-masing dan kelulusan pengurus.

“Fleksibiliti dan pengukuhan ini akan membantu para kakitangan untuk memenuhi matlamat peribadi dan profesional sesuai dengan gaya hidup dan komitmen mereka,” katanya. – MalaysiaGazette