Azrel Ismail

SUBANG JAYA – Pelakon Azrel Ismail dan Nur Risteena Munim, masing-masing berdepan tuntutan saman ganti rugi RM1.5 juta kerana didakwa melanggar kontrak produksi, JNI Creative Sdn.

Peguam JNI Creative, Mohd. Fadly Hashim berkata, produksi itu memberi tempoh 14 hari kepada dua pelakon Yes Sir Nak Pergi Mana? terbabit untuk menjawab notis yang dikeluarkan kepada mereka semalam.

Notis tuntutan dikeluarkan kerana dua pelakon tersebut didapati melanggar kontrak apabila gagal menghabiskan baki penggambaran dalam tempoh ditetapkan oleh JNI Creative yang menerbitkan drama lakonan mereka.

“Malah, kenyataan mereka yang mendakwa konon pihak produksi belum menjelaskan bayaran tertunggak dan membuat laporan polis turut mencalarkan reputasi produksi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama adalah wakil JNI Creative, Muhibbudin Ahmad.

 Nur Risteena
Nur Risteena

Mengulas lanjut isu tersebut, Muhibbudin mengaku kecewa dan terkilan dengan kenyataan dikeluarkan kedua-dua pelakon itu, yang didakwa tidak benar.

“Seperti dinyatakan dalam kontrak, semua pelakon akan dibayar secara empat peringkat. Sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan dibayar pada hari pertama mereka berada di lokasi.

“Manakala bayaran kedua iaitu 20 peratus pula sebaik sahaja selesai penggambaran 15 episod. Sebanyak 35 peratus lagi akan dibayar apabila semua 30 episod drama itu selesai.

“Sementara baki 15 peratus pula akan dijelaskan pada hari pelancaran drama berkenaan. Bagaimanapun dalam hal ini, Azrel dan Risteena hanya menyiapkan 13 episod.

“Dan sebagai pelakon utama, keengganan mereka meneruskan penggambaran berbaki 17 episod lagi membuatkan kos semakin meningkat, sekali gus membuatkan produksi menanggung kerugian,” jelas Muhibbudin.

Namun begitu, pihak produksi masih membuka peluang kepada dua pelakon terbabit untuk duduk berbincang dan tidak menolak kemungkinan tuntutan saman itu ditarik balik jika kata sepakat dicapai oleh kedua-dua pihak.

Minggu lalu, Azrel dan beberapa pelakon serta kru drama itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor, kerana mendakwa produksi berkenaan gagal melunaskan baki bayaran. – MalaysiaGazette