Tony Pua

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee diarah meninggalkan Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) sejurus tiba di bandar raya itu jam 12.45 tengahari tadi.

Tony kemudiannya terpaksa kembali ke ibu kota dua jam kemudian selepas ditahan pihak imigresen yang tidak membenarkan beliau memasuki Sabah.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata, tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah menggunakan kuasa imigresen bagi menghalang Tony Pua memasuki negeri itu amat tidak wajar.

“Jelas ini menunjukkan UMNO-BN semakin khuatir dan risau kerana DAP semakin mengukuhkan kedudukan di Sabah khususnya di kawasan pedalaman.

“Apa masalah tak benarkan Tony masuk (Sabah)? Tony bukan pengganas! Beliau adalah seorang Ahli Parlimen Malaysia yang dipilih rakyat,” katanya dipetik laporan portal pro pembangkang.

Ketua Publisiti DAP itu dijadualkan berada di Sabah hari ini sebagai memenuhi jemputan bagi program dialog 1MDB dan isu-isu semasa bersama masyarakat luar bandar di Keningau dan Tenom.

Selain itu, Tony Pua dijadualkan merasmikan Sistem Agihan Air Graviti Umpason serta melancarkan penubuhan beberapa cawangan DAP kawasan luar bandar dan pedalaman.

Selain Tony Pua, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Naib Presiden DAP Kebangsaan, Teresa Kok antara pemimpin pembangkang yang dilarang memasuki Sabah tahun lalu. -MalaysiaGazette