SPRM

PULAU PINANG – Dua lelaki ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahanan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri hari ini kerana didakwa menjadi orang tengah atau ‘ejen’ kepada pekerja asing yang ingin memperbaharui pas lawatan kerja sementara.

Perintah reman selama lima hari itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah (Janayah), Muna Maria Azmi di Mahkamah Sesyen kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

Jurucakap SPRM negeri berkata, kedua-dua suspek berusia 38 dan 46 tahun itu didakwa menerima sogokan untuk menguruskan pas tersebut tanpa melalui prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan MyEG Services Berhad (MyEG).

Menurutnya, kedua-dua suspek yang merupakan tukang cuci dan ejen di MyEG itu ditahan di pejabat mereka di Taman Chai Leng, Perai di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

“Kedua-dua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dua lelaki berkenaan merupakan antara 12 orang awam termasuk dua wanita yang ditaham SPRM sebeluk ini keranan didakwa menjadi orang tengah atau ejen bagi pekerja asing memperbaharui permit mereka di negeri ini, Selangor, Johor dan Perak.

Kegiatan itu didakwa dilakukan menerusi portal MyEG yang sepatutnya hanya membenarkan majikan pemohon mengambil permit berkenaan.

Bagaimanapun, ejen-ejen tersebut dikatakan akan menghulurkan wang antara RM50 hingga RM700 kepada pegawai bertanggungjawab untuk menyerahkan permit itu tanpa kehadiran majikan – MalaysiaGazette